Marvel Cinematic Universe
Marvel Cinematic Universe

Marvel Cinematic Universe

Marvel Cinematic Universe ("Jagat sinema Marvel" - MCU) merupakan sebuah francais media buatan Amerika Syarikat serta sebuah jagat sepunya (shared universe) terdiri daripada serangkaian filem adiwira terbitan Marvel Studios sendiri berdasarkan watak-watak yang muncul dalam buku-buku komik terbitan Marvel Comics. Francais ini juga merangkumi buku komik, filem pendek, siri televisyen dan siri tayangan digital. "Jagat sepunya" ini tercipta dengan "mempersilangkan" semua unsur plot, latar dan watak-watak yang terlibat sepertimana yang dilakukan terbitan buku-buku komik yang asal. Watak Phil Coulson lakonan Clark Gregg merupakan watak yang baharu dicipta khusus untuk MCU dan satu-satunya watak yang muncul dalam semua bentuk media.Filem MCU yang pertama ialah Iron Man (2008), yang memulakan fasa pertama yang memuncak dalam filem crossover The Avengers (2012). Fasa kedua bermula dengan Iron Man 3 (2013) dan berakhir dengan Ant-Man (2015). Fasa Tiga bermula dengan Captain America: Civil War (2016) dan berakhir dalam Spider-Man: Far From Home (2019). Ketiga-tiga fasa pertama dalam MCU bersama-sama dikenali sebagai "The Infinity Saga". Marvel Television memperluas jagat MCU ke dalam rangkaian televisyen dengan Marvel's Agents of S.H.I.E.L.D. mulai tahun 2013, diikuti oleh khidmat penstriman dengan Marvel's Daredevil di Netflix pada tahun 2015 dan Marvel's Runaways di Hulu pada tahun 2017, dan kemudian ke dalam televisyen berbayar melalui Marvel's Cloak & Dagger di saluran Freeform pada tahun 2018. Marvel Television juga menghasilkan siri digital Marvel's Agents SHIELD: Slingshot. Dikeluarkan pula album-album runut bunyi (soundtrack) untuk semua filem dan kebanyakan siri televisyen, di samping album-album kompilasi yang mengandungi muzik yang ada didengar di dalam filem. Francais MCU juga termasuk komik bersempena (tie-in) terbitan Marvel Comics, sementara Marvel Studios juga menghasilkan satu siri filem pendek terus ke video dan kempen pemasaran tular untuk filem-filem dan jagatnya menerusi program berita tiruan WHIH Newsfront. Francais MCU telah menikmati sambutan yang hangat sekali, biarpun segelintir pengkritik mengulas bahawa sesetengah filem dan siri televisyennya telah terjejas dari segi kualiti semata-mata demi kepentingan seluruh jagat. MCU telah memberi inspirasi kepada studio-studio filem dan televisyen lain untuk mengadaptasikan watak-watak buku komik untuk cuba mewujudkan alam semesta yang sama, contohnya Warner Brothers dengan DC Extended Universe. MCU juga menjadi tumpuan media lain di luar jagat sepunyanya, termasuk beberapa buah tarikan di pelbagai Walt Disney Parks and Resorts, sebuah tarikan di Discovery Times Square, pameran Galeri Seni Modern Queensland, dua pameran televisyen, buku panduan untuk setiap filem, pelbagai permainan video bersempena dan iklan.

Rujukan

WikiPedia: Marvel Cinematic Universe http://www.aintitcool.com/node/48768 http://www.cnet.com/how-to/marvel-cinematic-univer... http://collider.com/ant-man-and-the-wasp-michael-d... http://collider.com/black-panther-movie-ryan-coogl... http://collider.com/captain-america-3-script-joe-a... http://deadline.com/2015/10/mark-ruffalo-bringing-... http://deadline.com/2015/10/marvel-damage-control-... http://deadline.com/2017/06/marvels-inhumans-premi... http://www.deadline.com/2008/07/marvel-locks-in-jo... http://www.deadline.com/2011/03/marvel-taps-its-ru...